Sunday, 31 August 2025

Uzbekistan Part 12 : Eating Palov - A Main Uzbek Traditional Dish At Chorsu Bazaar

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera 1Malaysia

Sambungan Dari Uzbekistan Part 11 : Chorsu Bazaar - The Oldest Market from The Great Silk Road

Di Chorsu Bazzar ini aku mencari satu makanan traditional yang sangat istimewa iaitu Palov atau Uzbek Pilaf. Dari awal masuk ke Chorsu ini boleh dikatakan hampir semua kedai makan yang kami terjah telah kehabisan Palov. 

Dan kami diberitahu oleh orang tempatan bahawa Palov ini adalah makanan waktu pagi sehingga tengah hari sahaja.

Palov yang di masak dalam kuali yang besar telah habis sebelum jam 11.00 tengah hari.
Lebih kurang sama seperti keadaan di Malaysia. Nasi lemak itu hanya dijual dari pagi sehingga awal tengah hari sahaja secara adatnya. Walau ada yang menjual di waktu petang dan tengah malam sekarang ini.

"Palov is Uzbekistan's national rice dish. It's a flavorful, slow-cooked dish featuring rice, meat - usually lamb or beef and sometimes chicken, onions and lot of carrots, often prepared in a large Kazan (Kuali Kawah). The dish ingredients can be customized with whole garlic heads, chickpeas, dried fruit and so many other things".

Pelbagai cara membuat Palov atau Uzbeks Pilaf ini. Namun asasnya tetap sama.
"It has various regional styles, such as the layered and steamed Samarkand version and the more roasted Tashkent version". Sumber Google AI. Di setiap awal pagi mereka akan memasak penuh sekawah but once habis, dia tak akan masak yang baru sehinggalah esok harinya. Dan kami di sini bernasib baik sebab masih ramai lagi peniaga yang menjual Palov.

Kami masuk dari sebalik 3 pintu tu. Memang tak expect apa yang ada di sini.
Agak teruja bila masuk ke sini sebabkan hanya menjual makanan semata-mata.
Dan pada akhirnya sebelum balik kami secara tak sengaja melalui satu kawasan yang mana di sini dipenuhi dengan peniaga yang menjual makanan semata-mata. Di pintu gerbang tertulis Xush Kelibsiz Milly Taomlar yang mungkin bermaksud Welcome to National Dishes.

Terasa keterujaan bila kaki melangkah masuk melepasi pintu gerbang tadi. Kelihatan perpuluhan jenis makanan yang terhidang dan juga yang sedang dimasak oleh para peniaga. Dengan bau makanan di setiap penjuru membuatkan perut kami berirama kuat. The kids pun sampai kata "Sedapnya bau makanan..".

Alhamdulillah nampak tempat kosong jer terus kami duduk. Siap ada selimut.
Agak penuh juga dengan suasana orang ramai yang sedang menjamu selera di sini. 
Tak lama mencuri bau makanan yang sedap, kami terus mencari tempat duduk kosong dan wife hanya menyerahkan pada aku untuk order semua makanan. Selain Palov kami order kebab ayam dan daging, kacang kuda yang dimasak berkuah yang likat - sedap sangat (really dont know what is the name). Last kami memilih hirisan keju bersama daging hancur.

Antara peniaga yang menjual Palov atau Uzbek Pilaf with beef.
Hirisan Cheese dengan daging hancur, ikan goreng dan roti fresh dari oven.
Sebelum order makanan aku melilau terlebih dahulu tengok apa yang mereka jual. Lain peniaga lain makanan yang mereka jual. Namun makanan seperti Palov, sup daging dan kebab itu hampir kesemua peniaga ada menjual. 

Dan di sini juga terdapat peniaga yang hanya menjual roti yang mereka buat fresh setiap masa. Boleh bau roti yang fresh itu setiap kali keluar dari ketuhar api yang menggunakan kayu semata-mata. Bau tu teringat sampai seakarang hihii.

Inilah dia yang kami cari dari awal tadi - Palov atau Uzbeks Pilaf.
Dimasak bersama ayam, daging atau kambing tanpa menggunakan minyak.
Sup untuk dimakan bersama Uzbeks Pilaf dimasak dari hirisan lemak dan daging.
Memang sedap hirup tengah sejuk ni. The kids cicah dengan roti uzbek yang bulat tu.
Menu tambahan ada Ayam Bakar Berempah, Sup Kepala Kambing, Sup perut
dan Kacang Kuda yang dimasak bersama apa ntah. Tapi memang sedap. :D
Selepas melilau seketika melihat apa yang dijual maka selepas itu barulah aku order makanan. Sebab kalau tanya wife tu langsung dia tak tahu. Dan wife dah kata "Saya ikut jer lah apa yang awak order,  kalau boleh telan, telan la".

Gagah jugalah aku bertanya ini apa itu apa dengan para peniaga. Syukur ada beberapa peniaga yang boleh bertutur dalam bahasa english. Sambil dibantu oleh beberapa orang ketika aku sedang order makanan. By the way para peniaga di sini semuanya friendly sangat-sangat.

Roti tu fresh dari oven. Dua jenis Uzbeks Pilaf yang kami order.
Uzbeks Pliaf, Kacang Kuda dan Hirisan daging dan lemak.
Masa excited masa dapat teh ini. Tengan sejuk-sejuk ni tak sabar nak minum teh panas.
Telur Puyuh Rebus, Roti Uzbeks, hirisan nipis Daging Kuda yang telah dikeringkan - seriously sedap. Kesemuanya dihidangkan bersama Palov. Dan untuk minuman kami memilih campuran daun teh dan safron. Tak letak gula pun sedap diminum and the kids minum banyak kali. Mungkin juga kerana cuaca yang sejuk semua suka minum air panas.

Kebab Ayam dan Daging serta Palov Daging safely arrived.
Adat di sini minum teh adalah dengan menggunakan mangkuk kecil.
Ketika sedang makan tiba-tiba bahu aku disapa oleh seseorang lelaki Uzbeks yang tinggi dan tegap. "I already pay for your family meal.." Terus aku bangun dan bersalam dan masih sedikit blur.. "I used to stay few years in Malaysia when i was a kid because my father working there.. and Malaysia people very kind always BELANJA me.."

Insan yang baik hati tolong bayarkan makanan kami sekeluarga.
Dia kata lagi inilah masa nak balas jasa baik orang Malaysia. Aku hanya tersenyum dan berkali-kali mengucapkan "Thank You, Thank You...". Sambil dalam hati macam nak loncat kegembiraan hahaha. Dan dia tahu aku tengah makan maka dia kata tak perlulah berbual "Just continue with your meal". 

Bergambar bersama Chef yang masak Uzbeks Pilaf atau Palov yang kami makan tadi.
Selesai makan dan sebelum balik kami bergambar dengan makcik yang masak Uzbeks Pilaf ni. Memang tak dinafikan kesedapannya. Kalau ada rezeki nak repeat ke Uzbekistan memang aku nak datang makan di sini lagi. Satu sebab harga memang murah dan makanan memang sedap-sedap. 

Oh ya Palov ini adalah resepi yang dibuat atau dimasak sejak berkurun lamanya. Boleh dikatakan ia ada dari negara China sehinggalah ke Turkiye. Dan ia tersebar disebabkan jalur The Great Silk Road oleh para pedagang dan para penghijrah beratus-ratus tahun lamanya. Dan dari bacaan aku makanan ini juga boleh ditemui di Ukraine. 

Bersambung Uzbekistan Part 12 : (Under Construction)

Thursday, 28 August 2025

Bang.. Nak Minta Tolong Sikit.. Pinjam RM10.00

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera 1Malaysia 

Malam tadi dalam lebih kurang pukul 9.00 malam aku keluar rumah menuju ke Hospital Sungai Buloh kerana ada sedikit urusan yang perlu diselesaikan.

Selepas Tol Duta aku terus memandu ke arah kiri untuk mengisi minyak di Shell. Dan elok aku park kereta dalam ruangan petak parking tersebut, aku terlihat seorang lelaki berumur mungkin di hujung 40-an. Berada di petak sebelah.

Keadaan beliau seperti agak gelisah sambil berdiri di sebelah kereta proton waja yang terbuka tingkap. Boleh lihat di dalam ada seorang wanita bertudung di tempat duduk hadapan. Dan 3 orang anak di bahagian tempat duduk belakang.

Oleh kerana aku memandang ke arah mereka secara tak languang lelaki berkenaan terpandang ke arah aku. Sambil menggaru kepala dia berjalan ke arah aku dan kemudian memberi lambaian. Dan aku menyambut lambaian beliau.

Sebelum aku sempat tanya kenapa. Beliau terus bersuara "Bang.. Nak pinjam RM10.00 nak isi minyak.. Saya ada RM7.00 jer tak cukup nak isi minyak nak balik rumah di Sungai Buloh.."

Dan dia berkata lagi "Bang bagi no acc dengan no telefon.. Nanti hujung bulan dapat gaji saya bank in semula pada abang.." sambil aku sedang mengeluarkan wallet untuk menghulurkan duit, dia kata lagi "Kalau abang tak percaya abang boleh bayarkan di kaunter, Insyallah saya tak tipu.."

Aku pun cakap "Tenang Bang.. Amik jer RM10.00 ni isi minyak.. Saya tak kata abang tipu pun.." Sambil aku hulurkan RM10.00 aku kata "Tak payah ganti la buat susah jer.. Amik jer lah". 

Sedang aku mengisi minyak, abang tu dah pun selesai mengisi dan kemudian memberi lambaian kepada aku dan mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi. Aku membalas senyuman. Dan memang kelihatan menter di pam tersebut tertera RM10.00.

Tiba-tiba aku terfikir "Eh bodoh nya aku.. kenapa bagi RM10.00 jer patut bagi lebih.. Mesti sampai rumah minyak pun dah habis.. Esok macam mana pulak.." Terasa menyesal sampai pagi ini. 

Monday, 25 August 2025

Uzbekistan Part 11 : Chorsu Bazaar - The Oldest Market From The Great Silk Road

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera 1Malaysia


Dari Kolkadash Madrasah kami berjalan kaki sejauh 700 meter menuju ke Chorsu Bazaar atau dikenali sebagai Eski Juva. Ia adalah salah satu The Oldest & Most Significant Markets in Central Asia. Dan ia telah pun mula beroperasi sebelum kurun ke-14 ketika Pemerintahan Dinasti Timurid (1370-1507M) yang memerintah dari Black Sea sehingga ke Kashgar, China.

The Oldest Market in Central Asia - Chorsu Bazaar in Tashkent, Uzbekistan. 
Walaupun jarak 700 meter untuk sampai ke bangunan Chorsu Bazaar tapi ia tidaklah terasa jauh langsung kerana dari sebelah Kolkadash Madarsah lagi terdapat peniaga yang membuka khemah dan telah menjadi sebahagian dari Chorsu Bazaar. Ia termasuklah Chorsu Flower Marekt, Chorsu Cloth Market, Chorsu Gold Center dan Souvenir Market.

Bergambar terlebih dahulu sebelum masuk ke Chorsu Bazaar.
Area pertama yang kami masuk ini banyak menjual pakaian dan buku-buku.
Masuk sahaja bahagian luar Chorsu Bazaar ini terus kelaparan sebab pagi tadi memang makan tak proper dan di sini bau makanan yang sedap-sedap seperti roti yang baru keluar dari ketuhar arang api. Dan bau daging-daging yang dibakar serta bau sup daging yang kaya dengan rempah ratus. 

Belum lagi cerita bau kebab, samosa dan sebagainya yang banyak dijual oleh ramai peniaga di sini. Dan buah-buahan yang begitu segar turut dijual merata di sepanjang kami berjalan menuju ke bangunan utama Chorsu Bazaar.

Sayuran dan buah-buahan segar yang dijual murah.
Pelbagai jenis roti yang enak dimakan begitu sahaja. Seriously tak tipu hahaha :D
Strawberry dan pisang antara dua buah yang kami beli ketika ini.
Bau dari kebab yang dibakar tu memang mencabar iman hahaha..
Sambil berjalan menuju ke bangunan utama Chorsu Bazaar, kami beberapa kali berhenti untuk membeli roti, pastry dan apa jua makanan yang menyelerakan. Harga makanan di bahagian luar ini tidaklah begitu mahal berbanding di dalam.

The kids juga tak melepaskan peluang meminta pelbagai makanan especially roti-roti yang menarik di mata mereka. Dan kami sempat juga membeli beberapa souvenir di sini disebabkan harganya yang agak murah berbanding di kawasan luar.

Fridge Magnet yang sangat cantik dan pelbagai nama bandar di dalam Uzbekistan.
Hari ni belum pun habis seminggu dari tarikh Hari Raya Aidilfitri namun kawasan bazaar ini dipenuhi dengan umat manusia. Baik yang menjual atau yang datang untuk membeli. Kalau di Malaysia confirm seminggu tutup lengang jer pasar-pasar besar utama di Malaysia. 

Setiap negara berbeza sambutan raya mereka. Patutlah orang luar kata orang Malaysia sambut hari raya paling meriah dalam dunia. Pejabat, kedai dan apa jua perniagaan semuanya ditutup. Dan semua meraikan raya di kampung halaman.

Ikutkan hati carpet pun aku nak beli bawa balik Malaysia 😅
Antara pakaian traditional Uzbeks yang dijual. Harga mengikut grad dan jenis kain.
Pakaian traditional yang dijual juga amatlah cantik namun ketebalan pakaian itu tidak sesuai dipakai di Malaysia yang selalu winter hahaha.. Antara lain yang menarik adalah pinggan dan piring ceramic yang bercorak-corak dan berwarna-warni. Hampir sama seperti yang aku beli dan dibawa pulang dari Morocco (Still have it today after 9 years).

Memang teringin sangat nak beli piring-piring yang bercorak ini apatah lagi terdapat set cawan dan teka yang ceramic yang mempunyai pelbagai corak. Tapi tahu tidak mudah untuk dibawa balik. Belajar dari pengalaman di Morocco yang lalu bahawa kesemua ceramic in harus masuk ke dalam check in luggage. Tak boleh dibawa as hand carry.

Set cawan dengan teko ceramic tu cantiknya la hai.. yang set mangkuk tu pun..
Mampu tengok jer lah.. Nak bawa balik memang tak boleh.
Buah-buahan yang segar especially strawberries and other berries. Dan segala jenis sayuran dan bijiran segar dijual dengan banyaknya di sini. Bayangkan dalam satu baris ada 10-15 peniaga yang menjual benda yang sama tanpa ada perselisihan apatah lagi pergaduhan dan mereka berborak, bergelak tawa dan saling bantu membantu. 

Harga berlainan mengikut kualiti. Kalau yg ini murah sekilo tak sampai RM10.00.
Kira-kira setengah jam lebih akhirnya kami sampai jua ke bangunan Chorsu Bazaar. Setelah berjalan dan berhenti makan untuk beberapa kali. Di kawasan dalam lebih teratur susunan para peniaga. Terdapat juga section menjual barangan kemas tapi part tu kami tak masuk la. 

Cukup luas area Chorsu Bazaar ni dan rasanya kalau mencari sesuatu kita kena tahu mana satu section yang perlu kita masuk. Dan antara yang menarik adalah di bahagian rempah ratus yang ada beratus jenis dijual oleh puluhan peniaga.

Kita yang datang berjalan pun tak tahan dengan kesejukan.
 Tak tahu macam mana para peniaga ini tahan dari pagi sampai ke malam.

Chorsu Bazaar ini ketika di zaman Middel Ages adalah salah satu hentian utama The Great Silk Road. Dan dari situ ia mula menjadi tempat peniagaan dan menjadi tempat penukaran barang dagangan. Dan ia terus berkembang dari tahun demi tahun sehingga menjadi sebuah bazaar utama dalam Silk Road.

Perkataan Chorsu diambil dari Bahasa Tajik yang bermaksud "Crossroad" atau "Four Stream". Dan bangunan baru (termasuk The Blue Dome) seperti yang sedia ada sekarang ini telah dibina pada tahun 1980 oleh Vladimir Azimov dan Sabir Adylov et al dengan menyerapkan seni bina dari Soviet Modernism style.

Bersambung Uzbekistan Part 12 : (Under Construction)

Saturday, 23 August 2025

Update Kosong Celoteh Hujung Minggu

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera 1Malaysia 

Kita sedang berada di hujung bulan Ogos. Tak lama lagi tanpa disedari September bakal menjelma. Haishh.. Mood nak update blog masih lagi di paras rendah yang amat membimbangkan hahaha.. 😅

Urusan kerja yang terlalu sibuk. Lagi-lagi bila bos dah tahu kita apply cuti bulan depan dan cuti pun syukur alhamdulillah diluluskan. Tapi macam biasalah disebalik cuti diberi, kerja pun di double kan hahaha.. 🥲

Dan somehow almost setiap malam akan spend time depan laptop. Menyiapkan itinerary yang bakal digunakan bulan depan nanti. Persiapan 50% dah selesai setakat ini. Separuh accommodation pun telah selesai ditempah dan dibayar.

Orange Americano menjadi ketagihan aku bulan ni 😅
Menyiapkan itinerary di rumah penuh dengan cabaran selagi mana the kids belum tidur. Tapi nak tunggu the kids tidur kena stay awake lewat malam pula. Kadang-kadang cuba menyiapkan itinerary di cafe di antara waktu selepas balik kerja dan sebelum ambil anak-anak balik.

Menu malam tadi masak main campak-campak maka jadilah Kari Ayam.
Hari ni Sabtu kepenatan juga sebab kami sekeluarga menghadiri Sport Day sekolah Afnan - Ranger Adventure Hunt bertempat di Quayside Mall di Teluk Penglima Garang. Sejam juga drive dari rumah. Waktu datang awal pagi semua tertidur dan waktu balik pun tertidur akibat kepenatan.

Affan Sport Day - Ranger Adventure Hunt.
Insyallah jika diizinkan Allah maka bulan depan dapatlah aku capai cita-cita untuk menjejakan kaki ke negara yang ke 48, 49 dan 50. Apa pun semuanya bergantung kepada keadaan bila tiba di destinasi nanti.

Hampir setahun tidak travel ke mana-mana selepas yang terakhir ke Romania dan Bulgaria secara solo pada bulan Oktober 2024. Insyallah next month kita bawa wife sekali. The kids? Hurmm tak bawa rasanya hahaa.. sebab utama adalah tak ada budget untuk mereka kali ini 😅

Wednesday, 20 August 2025

Orang Kaya Naik Kapal Terbang Tak Perlu Bayar Cukai?

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera 1Malaysia 

Petang-petang ni macam nak bertanya sedikit. 

Kenapa orang kaya sewa pesawat kapal terbang mewah ke luar negara atau dalam negara tak dikenakan cukai..?

Walhal kalau kita marhain nak beli flight tiket ke luar atau dalam negara bermacam-macam cukai dikenakan..



Monday, 18 August 2025

Uzbekistan Part 10 : Kokaldash Madrasah - Taşkent'in Eski Şehir (The Old Village)

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera 1Malaysia


Balik dari Magic City Park, kami semua kepenatan. The kids lah yang terpaling penat. Sampai hostel mandi dan terus tidur. Tapi aku as a father waktu mereka sedang tidur tu, keluar sekejap mencari makanan untuk dinner malam ini. Alhamdulillah dapat beli ayam untuk di masak. Tapi yang susah tu part nak masak.

Interior Kokaldash Madrasah build in 15 century by Syaibanid Dynasty.
Nama pun hostel with sharing kitchen kan. Maka tak boleh la nak masak something smelly and heavy. Kita buka paste kari dan masukan ke dalam periuk yang telah ditumis bawang holland. Tak boleh pakai bawa merah nanti kuat bau huhu. Letak ayam dan campur air sikit terus tutup. Bila mendidih terus angkat sambil sebelah masak nasi guna periuk atas api.

Agak struggle juga bila dapat hostel instead apartment yang kami perlukan. Lepas masak bawa masuk bilik di tingkat 4, tukar bekas bagai dan kena kembalikan semula semua periuk di kitchen sebab nanti orang lain juga nak pakai. 

Arriving Taşkent'in Eski Şehir (The Old Village) by Yandex.
Antara pameran peralatan lama yang digunakan oleh masyarakat terdahulu.
Pintu rumah traditional yang digunakan oleh penduduk di sini. 
Keesokan pagi kami bersiap dan terus keluar dari hostel seawal pagi. Dan misi hari ini untuk menziarahi beberapa tempat di area Chorsu yang terletak hampir 7 km dari hostel dengan menaiki Yandex. Dan destinasi pertama kami adalah kawasan pelancong kota lama iaitu Eski Shahar Turistik Hududi.

"Sebuah kawasan kejiranan yang terkenal dengan seni bina dari kurun ke-16 yang dipelihara dengan baik dengan gabungan penampilan rumah batu dan kayu tradisional. Di sebalik kawasan perumahan bersejarah, kawasan ini menawarkan suasana tarikan kebudayaan, makanan traditional dan peluang untuk mengalami gaya hidup tempatan" - Sumber Google.

Hampir kesemua bangunan dan rumah di sini telah dinaik taraf.
 Tidak kelihatan langsung seperti ia telah dibina ratusan dahulu.
Ada beberapa tempat rehat yang disediakan dan peralatan lama yang pernah digunakan.
Nothing much to see here maka menujulah kita ke sebuah masjid yang bersejarah di sini.
Bagi yang meminati suasana bersejarah memang agak teruja dan menakjubkan bila sampai di sini. Tapi bagi yang tidak ianya agak membosankan sebab mostly tiada apa yang ada di sini. Lagi-lagi datang seawal pagi seperti kami. Terdapat juga beberapa buah hotel yang berada di dalam Old Village ini dengan harga dari RM200.00 hingga 400.00 semalam.

Hoja Ahror Valiy Mosque yang dibina 1415 Masihi.
Maka dari Old Village ini kami berjalan kaki menuju ke Hoja Ahror Valiy Mosque dengan jarak 300 meter sahaja. Sebuah masjid bersejarah yang besar dengan seni bina yang amat cantik. Dan laman masjid yang dipenuhi Pokok-Pokok Ru, Apricot dan Plum yang menghiasi suasana. Kemudahan tandas dan ruang solat untuk muslimat juga disediakan di sini.

Pemandangan di perkarangan masjid.
Tandas dan tempat wudu' bagi muslimin dan muslimat juga disediakan.
Masjid ini telah dibina pada tahun 1451M oleh Sheikh Ubaydullo Khoja Akhror. Ia juga dikenali sebagai Dzhuma Mosque atau kita panggail Juma Mosque. Sebuah masjid yang besar dan digunakan untuk menunaikan dua Solat Aidilfitri dan Aidiladha maka sebab itulah pada kebiasaan di seluruh dunia ia dipanggil Juma Mosque atau di Malaysia Jamek Mosque.

Dari masjid kami menuruni tangga di bahagian depan untuk menuju ke Kokaldash Madrasah.
Selepas kejadian gempa bumi pada tahun 1868, masjid ini telah terbiar musnah sepenuhnya selama 20 tahun lamanya. Sehinggalah Maharaja Rusia Alexander III memberikan dana untuk kerja-kerja pemulihan pada tahun 1888. Dan disebabkan itulah ia pernah dipanggil Masjid Tsarist untuk masa yang lama selepas pemulihannya.

Pada zaman Soviet, masjid ini telah dirampas dan digunakan sebagai bangunan pentadbiran untuk Kementerian Pendidikan dan kemudiannya oleh pejabat awam yang lain. Renovation terakhir masjid ini adalah pada abad ke-19 yang lalu dengan memasukan arkitek moden dan merobohkan satu-satunya khubah lama dengan menggantikan 3 buah khubah yang baru.

Inilah dia Kokaldash Madrasah yang dibina pada kurun ke-15.
Di bahagian hadapan Kokaldash Madrasah dan the only entrance yang ada.
Boleh lihat khubah Masjid Hoja Ahror Valiy yang tidak jauh dari sini.
Sekadar mengambil gambar sebab belum lagi masuk waktu solat. Kami meneruskan lagi perjalanan menuju ke Kolkaldash Madrasah yang terletak 50 meter di hadapan masjid dengan menuruni tangga. Tempat pengajian agama ini masih lagi digunakan sehingga ke hari ini dan telah pun berusia hampir 500 tahun. Tidak seperti madrasah di Hazrati Imam Complex.

Ok jom masuk tempat yang telah melahirkan banyak ulama.
Bayaran untuk entrance adalah 15000 UZS bersamaan MYR5.00.
Masa nak ambil gambar ada pulak gadis Uzbeks main chak chak.. 😅
Sekali pandang tepi tengok wife kita sedang memerhati la pulak.. 😅
Ia telah dibina pada 1570M oleh Pemerintah Syaibanid. Ketika gempa bumi besar pada 1868, madrasah ini juga telah rosak teruk dan telah dibina semula pada tahun 1902 sehingga 1903. Dan telah menerima kerja-kerja ubah suai untuk dinaik taraf pada tahun 1950-an. Dan ia antara bangunan yang terselamat ketika gempa bumi besar pada tahun 1966.

Semua nampak sama sahaja. Rasanya yang bawah tu kelas dan atas tu bilik.
Bayaran masuk yang dikenakan untuk setiap orang dewasa adalah sebanyak 15000 UZS dan tiada bayaran untuk kanak-kanak. Persekitaran dalam madrasah dikekalkan seperti mana ia mula pertama kali digunakan pada 500 tahun yang lalu.

Kami dapat melihat suasana di dalam madrasah dengan beberapa orang pelajar yang sedang berjalan di perkarangan. Kami juga naik ke tingkat atas melihat bilik yang digunakan oleh ahli sufi dalam mengarang kitab. Dan oleh kerana ia masih lagi digunakan, hanya beberapa bahagian di dalam madrasah sahaja dibenarkan untuk dimasuki oleh pengunjung.

Tangga yang telah berusia 500 tahun.
Antara seni tulisan dari hasil pelajar yang dijual di sini
Kokaldash ini mendapat nama sempena nama adik lelaki (Kulbobo) kepada pemerintahan pada ketika itu, iaitu Abdullahan II dari Syaibanid Dynasty. Yang telah meninggal dunia sebelum beliau menaiki takhta. Terdapat 38 bilik yang dibina untuk penginapan para pelajar dan guru. Dan beberapa buah kelas, tempat makan dan sebuah masjid juga telah dibina. 

Kenapa nak bina ruang solat sedangkan ada sebuah masjid yang besar di sebelah madarasah? Ini menunjukan pada ketika pelajar sedang belajar mereka tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar bagi membolehkan mereka fokus belajar dengan baik. Oleh itu juga binaan madrasah ini hanya mempunyai satu pintu masuk dan keluar sahaja macam penjara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...