Monday, 2 December 2024

Misi Bantuan Barangan Keperluan Dan Makanan Ke Pantai Timur

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera 1Malaysia

Tepat jam 4.30 pagi 01 Disember 2024 kami Team kedua dengan callsign Alpha 02 bertolak dari Ampang menggunakan sebuah kenderaan Isuzu D-Max 4x4 menuju ke Pantai Timur. Team Alpha 01 telah bertolak sehari awal iaitu pada petang hari jumaat pukul 5.00 petang menuju ke Pantai Timur.

Tugasan Team Alpha 01 adalah Misi Menyelamat Mangsa Banjir. Alhamdulillah lebih 14 keluarga telah berjaya dibawa keluar dari kawasan banjir dan kemudian di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Pasir Puteh, Ketereh dan Machang. Dengan bantuan aset 2 buah bot yang dibawa dari Ampang.

Bersama Ust Rodzi di PPS Kampung Gaal Tengah, Pasir Puteh, Kelantan.
Oh ya aku adalah sukarelawan yang berdaftar di bawah Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Ampang sejak 6 tahun lepas. Dan misi banjir tahun ini kami dipermudahakan kerana telah menerima penambahan aset kenderaan kedua iaitu sebuah D-Max 4x4 pada bulan Januari 2024 dan juga dua buah bot 10 kaki yang telah berjaya dibeli.

Banjir seawal subuh di jalan utama Raub - Benta, Kampung Kuala Gali.
Antara rumah penduduk di Kampung Kuala Gali yang dinaiki air.
Dalam perjalanan menuju ke Kelantan kami dikejutkan dengan jalan yang telah dinaiki air yang deras berdekatan Kampung Kuala Gali, Raub (kalau tak silap aku). Kelihatan bomba dan polis sedang melakukan kerja-kerja menyelamat dan ketika ini waktu berada di hujung waktu subuh. Alhamdulillah kami berjaya melepasi kawasan yang dinaiki air.

Dan kami selamat tiba di Bandar Kuala Lipis jam 7.45 pagi selepas menunaikan solat subuh di Petronas R&R Bentong jam 6.10 pagi. Bersarapan terlebih dahulu di Kedai Kopi Stesen berdekatan dengan Stesen KTMB Kuala Lipis dan kemudian ke Supermarket BF Freshmart Kuala Lipis untuk membeli barang keperluan dan makanan.

Bersarapan di Kedai kopi Stesen, Bandar Kuala Lipis.
Alhamdulillah duit sumbangan sebanyak RM1,400.00 telah kami gunakan untuk membeli barang makanan kering seperti 200 pack mi segera, 100 pack biskut pelbagai jenis, 300 botol air mineral, 2 kotak tepung gandum, 50 bungkus bihun, 50 pack kopi, kicap, minyak masak, sardin tin dan banyak lagi. 

Selesai membeli dan menyusun semua barang di belakang 4x4, kami meneruskan perjalanan. Ketika ini hujan turun walau tak lebat tapi ianya berterusan agak lama sehingga boleh kelihatan di beberapa kawasan bersebelahan jalan telah di naiki air dan beberapa rumah kampung telah dimasuki air.

Membeli makanan untuk mangsa banjir di BF Freshmarket Bandar Kuala Lipis.
First round membeli makanan kering untuk PPS.
Selesai membeli moh ler kita ikat dengan selamat. Moga tiada yang terbang di tengah jalan :D
Sambil memandu terus aku tanya Cikgu Nik "Kalau balik nanti semua jalan tutup macam mana..?" Cikgu Nik kata jangan risau air pasti akan surut dan tak akan banjir selamanya. Tinggi betul tawakkal Cikgu Nik hahaha. "Jangan risau kita selesaikan tugasan kita terlebih dahulu lepas tu baru fikir benda lain.

Jam 10.45 pagi kami telah selamat tiba di Petron Gua Musang. Berhenti rehat seketika dan aku membeli 80 pack Roti Mighty White sebab masih ada lagi sedikit baki dari membeli barang di BF Freshmart Kuala Lipis tadi.

Team Alpha 01 yang sedang memindahkan mangsa banjir ke PPS.
Bersama dengan salah seorang Team Alpha 01 - Captain Zainan.
Dan akhirnya pada jam 3.00 petang kami berjaya sampai di PPS Kampung Gaal Tengah dalam Daerah Pasir Puteh. Secara kebetulan ADUN Gaal YB Ustaz Rodzi juga berada di tempat kejadian. Selepas menurunkan semua barang bantuan dengan dibantu oleh warga tempatan. Kami dijemput untuk minum teh dengan ubi rebus bersama YB Ustaz Rodzi.

Ust Rodzi ajak minum teh dengan Ubi Rebus bersama kelapa parut kukus.
Time ni memang perut tengah lapar sangat huhuu.
Duduk mengeteh tak sampai 15 minit kami memohon untuk mengundurkan diri sebab jauh nak balik ke Ampang semula. Dan still takut jalan tutup sebab dinaiki air. Dah la esok Isnin kerja pulak tu hahaa. Disebabkan aku yang memandu dari Ampang sehingga ke sini maka Cikgu Nik mengambil pemanduan. Dan aku? tertidur lena di sebelah hahaa..

Sesi memunggah barang makanan untuk mangsa banjir di PPS Kampung Gaal Tengah.
Kami berhenti di Masjid Sultan Ahmad Mukim Paloh untuk bersolat jama Zohor dan Asar. Setakat ini Gua Musang dan Kuala Krai masih lagi selamat dari keadaan banjir yang melanda Kelantan. Keadaan akan susah jika Gua Musang dan Kuala Krai banjir dan akan menyebabkan lalu terputus dan bantuan susah nak masuk ke Kelantan.

Perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Lipis tidak kelihatan ada kejadian banjir. Dan juga cuaca yang baik tidak hujan. Sehinggalah kami sampai di Bulatan Benta. Terdapat papan tanda "LENCONGAN". Cikgu Nik tanya pada beberapa orang yang menjaga jalan. Katanya tak boleh masuk sebab air naik tinggi banyak kereta dah rosak.

Masa ni banyak kereta yang patah balik ke Benta sebab air naik tinggi di atas jalan.
"Tapi kalau abang nak try redah boleh cuba sebab 4x4 mungkin boleh lepas kot". Cikgu Nik balas"Terima kasih bang" dan menoleh ke arah aku. "Macam mana nak redah ke atau nak ikut lencongan" Aku pun redah jer la insyallah lepas. Jam menunjukkan hampir 9.30 malam. 

Selepas beberapa ketika kelihatan lampu di hadapan maka tanda nak sampai ke penghujung.
Lega rasanya once dah boleh nampak no plat dan tayar kereta depan.
Tak sampai 5 minit memandu dari Bulatan Benta kelihatan ada beberapa buah lori dan kereta yang berhenti ditepi jalan. Dengan keadaan yang gelap di kiri kanan kami hanya melihat jalan dihadapan yang telah hilang ditenggelami air. Tiba-tiba ada sebuah lori memandu ke aras jalan yang ditenggelami air dan diikuti oleh sebuah Mitsubish Triton.

Cikgu Nik pun terus memandu ikut dibelakang Triton berkenaan dan hanya kami tiga kenderaan sahaja yang cuba meredah air. Yang lain hanya memerhati dari belakang. Kami memandu seolah-olah tiada kelihatan mana penghujung di hadapan. Dan lama ke lamaan Triton di hadapan semakin perlahan membuat aku lebih risau.

Alhamdulillah akhirnya kami berjaya meredah banjir.
Apatah lagi pintu D-Max ni juga telah hampir separuh ditenggelami air. Dan keadaan menjadi lebih mendebarkan kerana air menjadi lebih deras seolah-olah menolak kerata yang kami naiki ke arah tepi. Dalam hati aku masa ni "Jangan la enjin mati". Dah la kiri kanan hutan gelap gelita. Aku dengan Cikgu Nik memang tak bersuara langsung.


Dalam keadaan gelisah tiba-tiba nampak cahaya di hadapan menandakan kami hampir berjaya melepasi banjir ini. "Ya Allah lepaskan kami dari banjir ini dan selamatkanlah kami.." Walau dalam keadaa risau sempat juga aku keluarkan HP amik gambar dan video ketika saat ini.

Alhamdulillah selepas melepeasi banjir tadi kami meneruskan pemanduan dengan selamat sehingga selamat tiba di Ampang tanpa sebarang kejadian banjir lagi. Untuk trip ini, dua kali meredah banjir bagi menghantar bantuan ke PPS. Insyallah trip kedua menghantar bantuan makanan dan keperluan akan aku sertai pada hujung minggu ini. Doakan semoga semuanya berjalan lancar yer sahabat semua :D

7 comments:

  1. Pernah merasa juga, masa tu naik Hilux. Air banjir tinggi menghampiri tingkap. Puas berzikir dan doa.

    Alhamdulillah team Afif selamat balik Ampang. Moga Allah permudahkan untuk urusan bantuan trip kedua nanti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kann... Yg pernah mengalami jer tahu mcm mana berzikir dan berdoa dalam hati moga diselamatkan dri dibawa arus banjir.. Insyallah akan trip kedua menyusul dlm minggu ini juga :D

      Delete
  2. terima kasih sudi datang beri bantuan pada kami...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah sekadar membantu menyampaikan sumbangan yg telah diberi org ramai kepada penerima.. :D

      Delete
  3. hari ni hujan dah berhenti.. Alhamdulillah... air semakin surut..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah semoga gelombang kedua tidak memudaratkan keadaan lagi insyallah.. amin..

      Delete
  4. Debar betul.. Alhamdulillah... Selamat... Semoga dipermudahkan segala urusan dalam membantu mangsa2 banjir.. Aamin2

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...