Friday, 4 November 2016

Jom Baca Tips Ke Morocco Mr Time Traveller Di Harian Metro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia..


Alhamdulillah first at all bersyukur sangat bila tulisan aku diterima oleh Harian Metro pada keluaran Khamis 03/11/2016 - Permulaan yang baik aku rasa setelah sekian lama mendiamkan diri hehehee.. Apa pun jom baca tips ke Morocco yang disiarkan oleh Harian Metro ini.. if korang nak baca la.. tak paksa pun hehee.. :P

Keratan dari Harian Metro Khamis - 03/11/2016
Anda mahu ke Maghribi? 
Jika bijak merancang, bajet sepanjang berada di negara itu lebih murah.

Morocco atau Maghribi bukanlah nama asing dalam dunia pelancongan kerana negara itu dikunjungi setiap masa sepanjang tahun.

Terdapat banyak lokasi prasejarah di Maghribi yang diiktiraf sebagai kawasan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (UNESCO) kerana keunikan seni bina dari permulaan Tamadun Rom yang bermula dari tahun 24 Sebelum Masihi hinggalah ke permulaan tamadun Islam Dinasti Al-Idrisiah pada tahun 800 Masihi.

Landskap Maghribi yang cukup indah dipandang selain keunikan budaya masyarakatnya terutama di Marrakech, Fes dan Meknes.

Keistimewaan makanannya juga menjadi antara penyebab mengapa Maghribi perlu diletakkan dalam senarai menjadi negara yang wajar dilawati.

Ramai yang beranggapan mengembara ke Maghribi sukar dan mahal kerana dari sudut geografi, ia terletak ribuan batu dari Malaysia, apatah lagi kos penerbangan pergi balik sekitar RM2,000 hingga RM3,500 seorang. Bagaimanapun, jika bijak membuat perancangan, anda mampu menjadikan bajet sepanjang berada di Maghribi lebih murah.

Berdasarkan pengalaman seorang rakyat Malaysia, Muhamad Afif Muhamad Salleh, dia hanya menggunakan kos tidak sampai RM1,000 selama sembilan hari di Maghribi untuk penginapan, perjalanan, makan minum dan tiket masuk ke tempat menarik tidak termasuk tiket penerbangan.

Berikut beberapa tip diberikan beliau yang pernah mengembara ke 36 negara di seluruh dunia, terutama di Afrika yang merancang menjelajah ke Maghribi yang boleh dibaca di timetravelafif.blogspot.com.


Me with family at Hassan II Mosque The Biggest Mosque in Morocco.
Pemandangan Kota Qadim dari atas bukit "Tombe dei Merenidi" Fes.
Madrassa Ben Yusof @ Marrakech

#Berkunjung pada masa bukan musim puncak (off peak season) 

Waktu paling sejuk di Maghribi dari Disember hingga Mac manakala waktu popular pelancong dari permulaan Oktober hingga November dan awal April kerana suhu ketika itu tidak melebihi 30 darjah Celsius pada waktu siang dan dan boleh mencecah 14 darjah Celsius pada malam.

Jika tidak kisah dengan cuaca panas, anda boleh mengembara pada Mei hingga Jun kerana tidak ramai yang ingin bercuti pada waktu itu. Musim luruh pada Julai, Ogos dan September adalah waktu kemuncak pelancong di Maghribi. Jadi, jika anda datang pada waktu ini buat tempahan penginapan seawal mungkin bagi mengelak ketiadaan penginapan.


#Kembara berkumpulan dua hingga empat orang 

Di kawasan luar bandar tiada kemudahan kereta api atau bas menyebabkan teksi menjadi menjadi pengangkutan awam utama bagi pelancong.

Hanya teksi di bandar utama seperti Casablanca dan Rabat menggunakan meter. Di bandar lain, tambang teksi hanya mengikut anggaran. Jadi, tawar dulu tambang sebelum menaiki teksi mereka.

Bayaran teksi berdasarkan satu perjalanan, bukannya kiraan mengikut penumpang. Teksi di Maghribi tidak membawa penumpang lebih daripada empat orang dan ada sesetengahnya hanya mengambil tidak lebih tiga penumpang.


# Elak makan dan minum di tempat mahal 

Elak makan di restoran besar dan mahal termasuk restoran makanan segera. Cari kedai kecil untuk membeli makanan seperti kebab, sandwic dan kentang goreng.
Kedai makanan sedap yang murah biasanya berada di lorong Madina Qadim atau Kota Lama di setiap bandar. Walau di mana anda berjalan, ada kedai di kiri dan kanan. Cubalah makanan tradisional mereka seperti ‘tajin’ ayam atau daging terutama apabila berada di Marrakech.

NOTA: Jika tidak boleh meninggalkan nasi dalam diet anda, siap sedialah kerana tiada nasi di Maghribi. Makanan utama di sana ialah roti semata-mata. Sebenarnya nasi cuma ‘sayur’ dalam menu makanan mereka jika anda terjumpanya dalam sayuran anda. Jika mahukan juga, mintalah nasi putih yang berharga RM5 hingga RM8 sepinggan!


Archaeological Site of Volubilis - City of Roman @Near by Meknes City

# Bawa makanan dari Malaysia 

Sekiranya anda tidak boleh menerima makanan di negara orang, bawalah sedikit makanan segera seperti mi segera, sambal ikan bilis kering, peket makanan atau sardin. Ini bagi mengelak anda terpaksa membeli makanan mengikut selera anda dengan harga mahal.

NOTA: Makanan di Maghribi hampir semuanya halal termasuk restoran makanan segera seperti KFC, McDonald’s dan Pizza Hut. Banyakkan minum air bagi mengelak badan anda dehidrasi kerana cuaca kering dan panas serta berdebu.


# Tempah penginapan awal 

Maghribi seperti negara lain menawarkan hotel murah serta hostel bagi mereka yang inginkan penginapan seperti itu. Dorm atau asrama rata-rata mengenakan caj di bawah 10 Euro seorang.

Jika datang berkumpulan tiga atau empat orang, lebih baik anda mengambil bilik peribadi berharga sekitar 20 hingga 30 Euro.

Harga bilik lebih mahal jika membuat tempahan pada tarikh hampir dengan ketibaan anda.

NOTA: Cukai penginapan 2 hingga 3 Euro dikenakan kepada setiap pelanggan setiap kali mendaftar masuk. Biasanya harga di dalam laman web tidak termasuk cukai penginapan.


Another historical structure at Tombe dei Merenidi - Fes @ Morocco
At Fes Train Station - First trip with my beloved baby Afifa :D


# Membeli barangan kraftangan Maghribi 

Kraftangan Maghribi terkenal di seluruh dunia terutama piring hidangan berwarna-warni yang memiliki corak berukir dan periuk tajin yang dibuat daripada tanah liat.

Elak membeli di bandar besar kerana harganya berganda dari kawasan luar bandar. Meknes dan Fes adalah tempat yang murah untuk membeli barangan kraftangan Maghribi.

NOTA : Lapangan terbang di Casablanca tidak membenarkan anda membawa kraftangan diperbuat daripada tanah liat ini di dalam ‘hand luggage’. Oleh itu, sediakan beg atau kotak sesuai untuk membawanya pulang.


# Rancang perjalanan 

Perancangan awal mengenai destinasi mahu dituju atau aktiviti ingin dilakukan sangat disarankan bagi mengelak anda terkejar-kejar sehingga membazirkan masa dan wang.

Jika tiada masalah tidur di dalam kereta api atau bas, ambillah perjalanan pada waktu malam kerana dapat menjimatkan kos penginapan.

NOTA: Pemegang Pasport Malaysia perlu memohon visa berharga RM90 sekali masuk atau RM130 dua kali masuk. Visa siap dalam tempoh tujuh hari pada ‘off season’ dan 14 hari jika ‘pick season’.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...